SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan LS6 | KL City FC vs Selangor FC | #DerbiLembahKlang

Mar 30, 2023 - FAS

Derbi Lembah Klang kembali musim ini dengan perlawanan Selangor FC menentang KL City FC untuk saingan Liga Super 2023 esok (31 Mac) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras jam 10 malam.

Ini merupakan pertemuan ke-87 di antara #KLCSEL. Gergasi Merah telah memenangi 51 perlawanan dan 18 seri. Selain itu, 160 jaringan gol telah terhasil daripada pertemuan dua pasukan ini. Kali terakhir menentang KL City FC adalah dalam perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ dengan keputusan 1-1.

Aksi pertama pasukan di bulan Ramadan, Aliff Haiqal Lau, pemain tengah Selangor FC mahu bantu pasukan sekali lagi mendapatkan tiga mata.

"Alhamdulillah, setakat ini persediaan kami tetap berjalan seperti biasa biar pun dalam bulan Ramadan. Jadual latihan juga bertukar namun kerja keras diteruskan untuk beraksi dengan baik dalam perlawanan ini.

"Saya percaya dengan semangat dan kebolehan rakan sepasukan. Kami bersedia untuk memberikan perlawanan yang terbaik menentang KL City FC. Saya juga akan berusaha untuk bantu pasukan serta berikan persembahan yang baik untuk dapatkan tiga mata esok, InshaaAllah," semangat Aliff Haiqal Lau.

Bagi keberadaan pemain, skuad Gergasi Merah kekal dengan rekod tiada sebarang kecederaan untuk perlawanan kali ini.

Pihak pengurusan Selangor FC yakin dengan kebolehan pasukan untuk mendapatkan keputusan terbaik esok. Ayuh, Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!